APA PILIHAN YANG ADA?
Sesungguhnya kita sudah tidak lagi boleh membuang masa untuk terus-terusan mengikut telunjuk demokrasi barat yang sengaja ditaja untuk kita saling bersengketa ini. Sebaliknya, kita harus meneliti dengan sungguh-sungguh dan segera kembali menggunakan sistem Islam yang telah Allah hadiahkan dan rasulullah SAW laksanakan dengan jayanya itu dengan penuh yakin.
Sistem demokrasi secara relatifnya bersifat ‘baharu’ ciptaan barat. Ia sudah jelas tidak akan mampu membawa kepada penyatuan umat Islam sampai bila-bila. Ia menampakkan ‘dunia ini’ hanya dengan kacamata ‘pembangunan’, ‘kemodenan’, dan ‘kemakmuran’. Namun ada bezanya apabila dunia ini dilihat dengan nilaian ALLAH melalui Al-Quran.Ramai yang berhujah mengatakan demokrasi baik kerana negara-negara maju mengamalkannya. Kerana itu jugalah banyak gejala sosial amalan barat yang kita terima buta-buta. Kami hormati hujah itu, sambil menginsafi bahawa pendirian kita berbeza lantaran visi atau kerangka tujuan hidup masing-masing tidak sama.
Dunia ini ALLAH wariskan kepada hambaNYA yang soleh (QS 21/105), yang berpegang kepada tali ALLAH dan tidak berpecah belah (QS 3/103). Oleh itu, maka bagi kami jelaslah sistem demokrasi ini menggagalkan suruhan ALLAH itu.
Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa telah wujud satu tamadun yang telah terbukti memberi rahmat ke seluruh alam. Itulah Tamadun Negara Madinah pimpinan Rasulullah SAW, dan sistem yang diamalkan adalah sistem berpandukan Al-Quran sepenuhnya. Kita semua bersyahadah dan mengaku ummat baginda, namun amat pelik bila kita enggan ikut bagaimana baginda mentadbir negara.
Kita sepatutnya sedar bahawa sistem demokrasi ini adalah satu strategi musuh Islam untuk menghalang penyatuan kita. Namun, ia ditopengkan dengan kemajuan, kemodenan, dan kemakmuran yang mereka redhoi walaupun kita tahu Allah tidak redha. Hanya mereka yang benar-benar inginkan hidup berlandaskan Al Quran dan As-Sunnah secara kaffah (menyeluruh) sahaja akan sedar akan hakikat ini.
Pemimpin dalam Islam harus dipilih dan dilantik oleh satu lembaga (badan) yang tidak berkepentingan secara rasminya. Inilah satu majlis yang terdiri dari golongan berilmu yang tidak berkepentingan. Mereka yang akan melantik dan mereka juga yang memantau, menunjuk ajar dan menasihati sebarang salah laku pemimpin yang mereka lantik.
Dengan itu barulah seorang pemimpin ibu boleh benar-benar menjadi pekerja atau hamba rakyat. Jika ada keperluan, bahkan badan yang sama juga berhak menurunkan mana-mana pemimpin yang dilantik. Dengan itu barulah pemimpin tidak lagi berpeluang untuk berbuat sewenang-wenang.
Dengan cara ini sahaja amanah kepimpinan itu mampu dijaga. Barulah nanti tidak ramai yang terhegeh-hegeh menawarkan diri untuk dicalunkan sebagai pemimpin sepertimana yang berlaku sekarang ini.
Sunnah atau resmi pejuangan nabi pastinya menentang arus. Samalah dengan apa yang kita harus perjuangkan. Jika kita ingin negara ini ditadbir melalui sistem syuro, memanglah ia menentang arus demokrasi yang akan menghanyutkan kita jauh dari landasan Islam yang sebenar.
KESIMPULAN
Tiada guna setiap pemimpin baru mengenengahkan slogan baru dengan berbagai-bagai moto yang terlalu bersifat grammatikal dan retorik. Tidak guna juga kita kerap mengganti pemimpin jika cara perlantikan dan sistem kepimpinannya masih menggunakan sistem dan ideologi kepartian tinggalan ‘orang lama’.
Usaha sia-sia ini boleh diibarat memasukkan apple yang baharu di dalam bekas najis yang sama bagi menggantikan apple lama yang busuk. Maksudnya bekas atau wadah perjuangan dan sistem kepimpinan itu sendiri harus dibersihkan terlebih dahulu sebelum pemimpinnya diganti.
Selepas 17 tahun, 5 kali berganti presiden barulah Indonesia berpeluang mendapat seorang presiden yang secara luarannya nampak merendah diri dan hidup sederhana. Itu juga mungkin kerana beliau masih baru dan itu belum menjamin beliau mampu bertahan lama. Ini kerana wadah parti dan sistem bernegara di Indonesia itu masih di takuk lama.
Oleh itu sebarang cadangan untuk mengikuti jejak langkah reformasi mahasiswa Indonesia harus dinilai semula demi mengelak tragedi yang sama. Apa yang penting kita usahakan sekarang ialah menyeru dan berkempen agar wadah kepimpinan negara itu dibersihkan. Tiada gunanya menukar pemimpin jika penggantinya hanya meneruskan gaya kepimpinan lama. Sebelum ini pun banyak kita lihat pemimpin yang bertukar lidah dan sikap. Contohnya semua rakan pengasas PKR sendiri pun sudah berubah.
Yang paling penting sekarang ialah mengubah acuan yang membentuk dan melantik kepimpinan itu. Dunia ini sudah cukup tua dan kita sudah terlalu lama membuang masa mencuba dengan kaedah ciptaan manusia.
Islam itu amat halus, lembut lagi bersifat pengampun. Jangan mana-mana pendosa takut dengan hukum Islam yang kononnya akan dikenakan kepada kita-kita yang pernah melakukan kesilapan lantaran kejahilan. Islam tidak akan menghukum pendosa yang jahil. Abu Sufian, Khalid Ibn Walid, Hindon yang pernah memerangi Nabi SAW dan membunuh mujahid Islam lagikan diampunkan.
http://prihatin.net.my/…/sistem-perlantikan-pemimpin-yang-…/
dari Warga Prihatin.
